Oleh Taidin Suhaimin
Artikel Teknik Belajar Berkesan ini menjelaskan pengertian, kepentingan kemahiran membaca serta kaedah atau cara membaca dengan cepat, pantas serta lebih mudah dan berkesan menggunakan Teknik Membaca PQRST.
Membaca ialah suatu proses komunikasi di antara dua pihak iaitu pembaca dengan penulis. Ianya adalah suatu proses memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahami makna kandungannya. - Kamus Dewan Edisi Baru, (1991)
Kepentingan Membaca
Membaca adalah aktiviti yang amat penting dalam proses pembelajaran. Oleh kerana itu, bagi setiap mata pelajaran terutamanya di sekolah rendah dan menengah di negara kita telahpun ditetapkan sekurang-kurangnya sebuah buku teks oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai bahan bacaan dan rujukan utama.
Penekanan utama dalam proses pembacaan sebagai suatu proses komunikasi ialah kefahaman yang mantap. Oleh kerana membaca adalah suatu proses komunikasi, pembaca mestilah menumpukan sepenuh perhatian - fikiran, pandangan, penglihatan, persepsi serta emosinya - terhadap apa yang dibaca. Ini amat penting pembaca agar benar-benar dapat memahami serta menjiwai maksud yang tersurat serta yang tersirat pada apa yang dibaca.
Kurang kemahiran membaca bukan sahaja akan menyebabkan proses pembelajaran anda menjadi sukar, malah minat anda untuk membaca juga boleh merudum.
Namun, sekiranya anda mahir dan cekap membaca, proses pembelajaran anda bukan sahaja akan menjadi lebih lancar, malah, anda akan lebih pantas pula memahami serta mengingati fakta-fakta penting dari bahan yang anda baca. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan lagi minat anda membaca dan membaca di samping dapat menjimatkan masa anda serta membolehkan melakukan lebih banyak aktiviti pembelajaran.
Teknik Membaca Berkesan - PQRST
Sistem PQRST adalah suatu teknik membaca cepat yang diperkenalkan oleh Thomas, Ellen Lamar; Robinson dan H. Alan dalam buku mereka yang bertajuk "Improving Reading In Every Class".
Berikut adalah 5 langkah yang menjadi tunjang Teknik Membaca Cepat PQRST ini.
(a) Preview (Tinjau)
TINJAU tajuk-tajuk utama pada keseluruhan buku atau bab tertentu dengan memberi perhatian kepada tajuk-tajuk besar dan kecil padanya. Tujuan utama proses meninjau ini adalah untuk anda mendapatkan gambaran keseluruhan tentang isi-isi penting pada buku atau bab-bab dalam buku itu. Dengan mendapat gambaran segera tentang kandungan buku itu, fikiran anda akan lebih tertumpu kepada isu-isu utama yang dibincang atau diutarakan pada buku tersebut.
-
(b) Question (Soal)
SOAL diri anda dengan menjadikan tajuk besar dan kecil dalam bab itu sebagai soalannya. Misalnya, tajuk bagi seksyen ini ialah Meningkatkan Mutu Pembacaan. Jadi, bentuk soalan yang boleh anda buat ialah “Bagaimana saya dapat meningkatkan mutu pembacaan saya?” Dengan adanya soalan itu semasa anda membaca, tumpuan fikiran anda akan lebih fokus kepada mencari jawapan atau jawapan-jawapan tentang soalan yang tertumpu pada fikiran anda pada ketika anda membaca.
-
(c) Read (Baca)
Baca satu seksyen ke satu seksyen untuk mencari jawapan soalan yang anda telah bentuk itu. Sambil MEMBACA bahan bacaan anda, tumpukan perhatian untuk mendapatkan jawapan bagi soalan yang anda telah timbulkan itu. Ini merupakan suatu pembacaan yang aktif. Oleh itu, carilah tempat di mana anda boleh membaca dengan sepenuh tumpuan. Dengan berbuat demikian, anda akan dapat meningkatkan keberkesanan dan impak proses pemahaman serta pengingatan anda terhadap idea-idea utama bahan yang dibaca.
-
(d) Self-Recitation (Menyebut Kendiri)
MENYEBUT KENDIRI ialah suatu proses dimana anda mencuba ingat fakta-fakta utama bab atau bahan yang anda telah baca. Adalah lebih berkesan jika anda menyebutkan fakta-fakta kepada diri anda secara lisan. Tujuan utamanya ialah untuk mengingat semula apa yang anda telah baca iaitu dengan menggabungkan semua proses (b), (c), dan (d) secara serentak.
-
(e) Test (Uji)
Dengan menggunakan Teknik Membaca Cepat PQRST, masalah terlalu banyak untuk dibaca akan dapat anda atasi. Teknik Membaca PQRST ini memudah dan mempercepatkan proses pembacaan serta pengingatan anda.
No comments:
Post a Comment